RSS

Syurgalah Tempatmu Wahai Adik-adikku

16 yang meninggal, 9 orang terselamat.  

Sungguh, dah beberapa kali air mata saya menitis hari ni membaca berita kejadian tanah runtuh yang berlaku di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Kelang Sabtu lepas.

Walau tidak berada di tempat kejadian, tapi melihat foto-foto mereka dengan dekat pun boleh buat saya menangis.  Bekerja di agensi berita memberikan saya kelebihan apabila saya dapat melihat foto-foto tempat kejadian dan mangsa-mangsa yang terlibat dengan lebih jelas. Ditanam dalam satu liang lahad, semoga SYURGA lah tempat mu adik-adikku. Al-Fatihah.



KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ke Hospital Selayang di sini, Selasa nyata membawa keceriaan kepada mangsa tragedi tanah runtuh Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa Hulu Langat.

Mereka berada di hospital kira-kira 45 minit untuk bertanya khabar dan melihat keadaan mangsa-mangsa berkenaan.

Najib dan isteri, yang tiba kira-kira 1 tengah hari, disambut oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil selain pegawai serta petugas hospital.

Turut mengiringi ialah anak-anak Najib dan Rosmah iaitu Nor Ashman, 19, dan Nooryana Najwa, 22, serta rombongan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Badan Amal dan Kasih Selangor (Kasih) serta Skuad Sayang Pergerakan Wanita Umno.

Kehadiran Najib dan rombongan ke Wad 5D itu disambut dengan senyuman oleh mangsa-mangsa dan anggota keluarga mereka terutamanya Mohd Aizat Khusairi Abdul Halim, 13, yang begitu teruja dengan kehadiran pemimpin nombor satu negara itu.

Mohd Aizat Khusairi, yang patah tangan kiri, turut meminta Najib dan Rosmah menurunkan tandatangan di balutan simen tangan kirinya itu.

Berikutan permintaan itu, Rosmah berseloroh sambil berkata, "Jangan bukalah (balutan simen) kalau macam ini, kena simpan ni," katanya sambil disambut gelak tawa keluarga Mohd Aizat Khusairi.

Najib pula sempat bertanya cita-cita Mohd Aizat Khusairi, yang tidak henti-henti tersenyum kerana kedatangan Najib itu ibarat impian menjadi kenyataan remaja itu.

"Saya nak jadi askar, terima kasih (Datuk Seri) Salam 1Malaysia," katanya yang sudah sekian lama mengimpikan pertemuan dengan Perdana Menteri.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Mohd Aizat Khusairi yang kini bertemu kembali dengan ibu kandungnya, Nursuzana Abdullah, 37, setelah terpisah sejak 11 tahun lepas, berkata dia gembira kerana kehadiran Nursuzana telah menguatkan semangatnya.

"Saya kuat semangat untuk terus tinggal di tahfiz, saya juga gembira sebab saya ada dua ibu sekarang," katanya sambil memandang Nursuzana yang dipanggil ibu dan ibu angkatnya, Nor Aida Yaacob, 37, yang dipanggil mama.

Sejak ibu bapanya berpisah pada 2000, Mohd Aizat Khusairi dan abangnya, Mohd Alif Zafran, 15, dijaga dan dibesarkan oleh Nor Aida yang juga ibu saudara mereka.

Sepanjang tempoh 11 tahun itu, Mohd Aizat Khusairi tidak pernah mendengar khabar berita, apa lagi bersua muka dengan ibu kandungnya, walaupun pelbagai usaha dilakukan keluarga angkatnya untuk mencari Nursuzana melalui akhbar.

Nursuzana yang turut berusaha mencari Mohd Aizat Khusairi, berdebar-debar ketika mengetahui tentang anaknya yang terbabit dalam tragedi tanah runtuh itu selepas menonton Buletin Utama TV3.

Najib dan isteri turut melawat mangsa lain iaitu Mohd Alauddin Sofri, 14, Mohd Harris Izuddin Syahrul Azmi, 11, Mohd Syafiq Ibrahim, 21, dan Siti Fatimah Ibrahim, 21, serta menyampaikan sumbangan peribadi kepada semua mangsa.

Rosmah, yang juga Yang Dipertua Bakti dan Yang Dipertua Kasih, turut menyampaikan sumbangan RM1,000 dan hamper kepada setiap mangsa.

Seorang mangsa yang trauma, Siti Fatimah, dilihat masih sugul dan sesekali menitiskan air mata apabila menatap gambar sekumpulan penghuni dan penjaga Madrasah Al-Taqwa yang sedang bernasyid lengkap dengan jubah dan serban mereka pada komputer ribanya.

Rosmah kemudian memujuk Siti Fatimah, yang melihat kejadian itu di depan matanya agar tabah, dan memeluknya bagi mengurangkan kesedihan.

Sementara itu, kembar Siti Fatimah iaitu Mohd Shafiq, 21, yang cedera di leher dilihat masih trauma dan tidak banyak bercakap.

Dia dilihat hanya berbisik dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua Ismail Sani.

Ismail yang ditemui pemberita kemudian berkata Mohd Shafiq memintanya bertemu dengan tok guru mereka di rumah itu supaya menjaga anak-anak yatim yang terselamat selain mengharapkan agar bangunan baru dibina semula untuk kemudahan mereka.

Najib dan isteri turut melawat mangsa yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu iaitu Zulkhairi Aminuddin, 12, Mohd Izzudin Abdullah @ Ibrahim, 29 dan Md Izwan Zakaria, 32.

-- BERNAMA 


p/s: membaca berita di atas pun buatkan saya sebak hiba.  Menerima realiti yang berlaku dalam hidup memang susah tetapi itulah yang perlu kita hadapi.  Sesungguhnya, kematian memang akan berlaku kepada kita samada kita bersedia atau tidak.  DaripadaNya kita datang, kepadaNya kita kembali.  Al-Fatihah. 

p/s/s: Maafkan saya andai ada kesilapan yang telah saya lakukan sepanjang hidup saya ni.  Halalkan segalanya. Maaf juga andai ada yang tersinggung dengan saya. :)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

2 comments:

Yana Kama said...

bila mula-mula dengar berita ni meremang je rasa..macam xpercaya je..moga roh mereka tenang di sana

ainnina said...

yup, moga roh mereka tenang di sana.. amin :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...