RSS

Kerajaan Terengganu Tanggung Kos Pembedahan Mangsa ASID

Kerajaan Terengganu Tanggung Kos Pembedahan Mangsa ASID

HULU TERENGGANU, 6 Dis (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan menanggung kos pembedahan plastik kanak-kanak mangsa simbah asid oleh bapanya sendiri, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat.

"Kita harap melalui pembedahan itu nanti wajah Nurul Dahyatul Fazlinda dapat dipulihkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak itu di Kampung Sekayu dekat sini hari Isnin.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta dalam satu dana untuk rawatan penyakit kronik penduduk negeri menerusi dana itu.

Nurul Dahyatul Fazlina, 8, mengalami kecederaan teruk di muka dan badan dalam kejadian akibat perbuatan bapanya sendiri pada 15 Ogos lepas. Turut cedera, ibunya Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, dan adik lelakinya Irfan Firdaus, 2.

Rozi berkata pembedahan itu akan dibuat sama ada dalam atau luar negara, setelah mendapat laporan daripada pegawai perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Kerajaan negeri akan tanggung sepenuhnya kos pembedahan serta perubatan mangsa-mangsa asid itu bagi membolehkan mereka hidup seperti orang lain, terutamanya Nurul Dahyatul Fazlinda yang terjejas emosinya berikutan sering kali diejek rakan akibat parut kekal di muka," katanya.
Che Ku Zaimah pula berkata beliau dan keluarga amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana bantuan itu sekurang-kurangnya mengurangkan beban tanggungan keluarga dan membolehkan anaknya menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Akibat kejadian itu, Nurul Dahyatul Fazlinda terpaksa dirawat di HSNZ selama 36 hari.

Bapa kanak-kanak itu, Mat Haizan Mat Yasin, 32, seorang penganggur telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan setelah mengaku salah terhadap pertuduhan mencederakan Che Ku Zaimah, penjara lima tahun dan dua sebatan terhadap kesalahan mencederakan Nurul Dahyatul dan penjara dua tahun kerana mencederakan Irfan Firdaus.

-- BERNAMA 


*sesungguhnya, sebagai rakyat Terengganu saya berasa sangat bertuah dilahirkan di bumi Terengganu kerana mempunyai kerajaan yang bertanggungjawab... :)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...